TAWAU: Tindakan nekad seorang lelaki menghadiri temu duga jawatan Konstabel Polis Siri 2/2019 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau petang, semalam, membawa padah apabila dia ditahan kerana positif dadah.
Suspek yang berumur 21 itu antara 114 calon yang hadir menghadiri temu duga itu dan disahkan positif dadah jenis ganja selepas melalui ujian saringan air kencing.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata lelaki itu sudah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pemulihan Dadah dan Rawatan 1983.
“Ini adalah kes pertama membabitkan calon pengambilan jawatan konstabel di Sabah didapati positif ganja. Mana-mana calon atau individu yang mahu menghadiri temu duga apa juga perjawatan dalam polis, perlu bebas daripada dadah.
“Ini kerana mereka tidak akan terlepas daripada menjalani ujian saringan air kencing bagi memastikan semua calon bersih daripada penyalahgunaan dadah selain perlu melalui beberapa tapisan dan ujian termasuk ujian kecergasan serta fizikal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program pembaharuan lesen senjata api bagi pemegang lesen senjata api awam tahun 2019 / 2020 di IPD Tawau, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas.
Mengenai majlis itu, Omar menggesa semua pemilik lesen senjata api di negeri ini supaya tidak menjual peluru kepada pemilik senjata api haram demi mengaut keuntungan mudah.
“Oleh itu, polis memberi peringatan tegas supaya mereka ini tidak menyalah gunakan permit membeli peluru dan kemudiannya menjual semula kepada pemilik senjata api haram termasuk jenis bakakuk atau ginsok yang hanya ada di Sabah dan Sarawak.
“Senjata jenis ini menggunakan peluru 12 bore sama dengan peluru senapang patah dan menyebabkan banyak kes kematian akibat tersalah tembak terutamanya ketika berburu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sejak 2017 hingga Jun tahun ini, polis merampas 137 senjata jenis bakakuk tidak termasuk senapang angin yang dipercayai diperoleh secara haram.
Dalam pada itu katanya, individu yang memperoleh lesen senjata api atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau bekas ADUN, boleh memperbaharui lesen atas kapasiti yang sama dalam tempoh tiga tahun.
“Bagaimanapun, selepas tempoh itu, syarat lesen hendaklah ditukar kepada lesen individu dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan lesen senjata api boleh ditarik balik atau dibatalkan,” katanya.
Pada program itu, seramai 21 individu terdiri daripada pelbagai latar belakang memperbaharui lesen senjata api masing-masing.
– BERITA HARIAN –