Lelaki ditahan miliki senapang angin buatan sendiri

MERSING: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama dua senapang angin buatan sendiri dalam serbuan polis di sebuah kediaman di FELDA Tenggaroh Timur 1, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing ke lokasi hasil maklumat orang awam, pada jam 12.50 tengah malam, Rabu lalu.
Katanya, ketika serbuan, pintu bahagian tengah rumah berkenaan tidak berkunci, sebelum polis menjumpai suspek lelaki yang tinggal bersendirian sedang berehat dengan senapang angin buatan sendiri diletakkan di ruang tamu rumah itu.
“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai dua senapang angin, selain 14 biji guli dalam beg jaring yang dipercayai digunakan sebagai peluru untuk memburu haiwan.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Cyril berkata, polis menahan tiga lelaki berusia antara 26 hingga 34 tahun yang cuba lari ketika ditahan polis di Jalan Wawasan 20, Taman Wawasan, di sini, pada 21 Disember lalu.
Katanya, dalam kejadian jam 10.15 malam itu, kesemua suspek ketika itu menaiki dua kereta Audi serta Toyota Vios dan berada di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas sepucuk revolver, 31 peluru pelbagai jenama, sejumlah peralatan yang disyaki digunakan bagi kegiatan pecah rumah, dua kereta dan tiga telefon bimbit,” katanya.
– BERITA HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.