Lelaki Cabul Kanak-kanak ditangkap Polis

SUSPEK yang melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di sebuah kedai serbaneka, Rabu lalu, akhirnya ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, buruh binaan berusia 54 tahun warga Indonesia itu ditahan jam 1.15 tengah hari di sekitar Bandar Country Homes, Rawang.

Katanya, pihaknya turut merampas pakaian digunakan suspek ketika kejadian.



“Suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Dia (suspek) akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan perbuatan lelaki dengan menggesel punggung mangsa berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai serbaneka dekat Bandar Country Homes, Rawang.

Perbuatan itu dilakukan ketika mangsa bersama adiknya ke rak di bahagian belakang sebelum dihampiri suspek.

– HARIAN METRO –