Lebih 2,000 kumpul di kuil diminta bersurai

 Image result for fuzi harun

SHAH ALAM – Polis akan membuat kawalan selama 24 jam dan meminta kira-kira 2,000 individu yang masih berkumpul di sekitar kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights dekat sini, malam ini, untuk bersurai dan tidak cuba menimbulkan provokasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima mendapati ada pihak cuba menghasut dan menimbulkan provokasi.

“Saya menegaskan sekali lagi kepada mereka yang berkumpul di sana untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan kerana kes ini masih dalam siasatan polis.


“Selain itu, kami dapat maklumat mereka ingin berkumpul di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk melakukan provokasi dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang terlibat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, malam ini.

Hari ini, polis menahan 17 lelaki bagi membantu siasatan kejadian berkenaan, yang berlaku 2.30 pagi tadi, sehingga menyebabkan kecederaan terhadap beberapa individu selain 18 kenderaan dan dua motosikal dirosakkan dan dibakar.

Mohamad Fuzi yang baru sahaja pulang dari Dubai hari ini selepas menghadiri ‘87th General Assembly of the International Criminal Police Organisation (Interpol)’ di negara itu, terus bergegas ke IPK Selangor untuk memberi sidang media mengenai perkembangan kes tersebut.

Terdahulu beliau diberi taklimat berhubung kejadian berkenaan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlan Sadari sebelum memulakan sidang media. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.