Lagi murid muntah, sesak nafas di dua sekolah

JOHOR BAHRU – Kejadian pelajar dikesan menunjukkan simptom muntah dan sesak nafas kini merebak ke beberapa sekolah sekitar Taman Pasir Putih dan Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, pagi tadi.

Difahamkan, keadaan itu menyerang dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort dan Sekolah Menengah Kampung Pasir Putih.

Menurut sumber, kejadian di SMK Tanjung Puteri Resort berlaku sekitar jam 8 pagi tadi ketika sesi persekolahan berjalan seperti biasa.



Pelajar bagaimanapun ditenangkan oleh guru sekolah berkenaan sementara menunggu kehadiran ambulans untuk menghantar mereka ke pusat rawatan sementara.

“Sekolah juga telah mengeluarkan arahan kepada ibu bapa untuk membawa pulang anak-anak demi keselamatan masing-masing.

“Setakat ini, sesi persekolahan di SMK Tanjung Puteri Resort telah ditangguhkan, dan ramai murid-murid sudah diambil penjaga mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Terdahulu, Exco Kesihatan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar mengumumkan 16 sekolah dalam radius enam kilometer dari Tamam Mawar diarahkan tutup empat hari sehingga keadaan benar-benar selamat.

Bagaimanapun, kedua-dua sekolah itu tidak berada dalam radius tersebut apabila terletak kira-kira tujuh kilometer dari lokasi pertama kejadian berkenaan dikesan.

– SINAR HARIAN –