Kumpulan bermotosikal iring van mayat halang lalu lintas

KLANG: Polis sedang mengesan sekumpulan remaja lelaki dipercayai mengiringi van mayat dan menghalang lalu lintas di persimpangan lampu isyarat pekan Meru, dekat sini, seperti tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai video tular berdurasi 1 minit 05 saat itu kira-kira jam 10.43 pagi tadi.

“Siasatan mendapati video yang dimuatnaik melalui laman sosial Facebook di bawah akaun ‘We Are Malaysian’ itu memaparkan sekumpulan remaja tidak memakai topi keledar menaiki motosikal dan kereta mengiringi van mayat yang menghalang lalu lintas di lokasi itu.

BARANG SAMPAI BARU BAYAR! TEKAN GAMBAR!

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Klang Utara membuat siasatan awal dengan mengesan dan akan memanggil penganjur untuk memberikan keterangan serta mengenal pasti suspek yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menafikan pembabitan kumpulan samseng dalam perarakan berkenaan seperti dakwaan di media sosial tertentu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 sehingga RM5,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya dan tidak menghalang lalu lintas yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

– Berita Harian –


(Visited 2,900 times, 1 visits today)