PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengerahkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur penyelewengan minyak masak bersubsidi dari peringkat kilang sehingga ke sempadan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini bagi mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.
“Tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL), pada Isnin.
Menurutnya, perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak peket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara.
– SINAR HARIAN –