Koperal polis cedera ditoreh kerambit

19 APRIL: Seorang anggota polis berpangkat koperal di Perak menerima empat jahitan pada bahagian jari kanannya akibat ditoreh dengan kerambit oleh lelaki dipercayai pengedar dadah.

Dallam kejadian di Parit Dalam Sungai Bayor, Selama, mangsa bergelut dengan suspek sebelum memberkasnya pada jam 3.45 petang.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad berkata, suspek melarikan diri ke dalam hutan paya berhampiran kawasan itu ketika cuba ditahan sepasukan anggota polis dalam Op Tapis Khas.

Menurutnya, anggota polis meminta suspek menyerah diri, tetapi lelaki itu enggan memberi kerjasama sebaliknya berteriak dengan mengeluarkan kata-kata ugutan.

“Anggota polis bertindak mendekati suspek sehingga berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditahan dan ditenangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabri berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas sebuah beg silang warna coklat yang dipakai oleh suspek dan menemui dua paket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 23 gram dan syabu seberat 0.5 gram.

“Anggota polis turut merampas senjata jenis kerambit dimiliki suspek dan kereta Honda Accord warna hitam yang dinaikinya,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.