Komunis bunuh Ketua Polis Negara Pada…

11 OGOS 1966 – Tan Sri Abdul Rahman Hashim (belakang Tun Razak) ketika memegang jawatan Pengarah Cawangan Khas menjadi saksi Perjanjian Perdamaian Malaysia-Indonesia sebagai tanda tamatnya era konfrantasi Malaysia-Indonesia.

PUKUL 8 pagi, 7 Jun 1974, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim, 51, sedang menaiki kereta rasmi, Mercedes Benz 250 berwarna biru muda yang dipandu oleh Pemangku Sarjan Omar Yunus, sedang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Pagi itu Abdul Rahman keluar dari rumahnya di Jalan Kia Peng, melalui Jalan Raja Chulan (Jalan Weld) kira-kira pukul 8 pagi tidak beruniform tetapi memakai kot kerana beliau akan menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Thai pada pukul 10.30 pagi.



Setibanya di Persimpangan Jalan Tun Perak (Jalan Mountbatten) di sebelah bangunan Lee Yan Lian, muncul dua orang lelaki yang tidak dikenali lalu menyerbu ke arah Mercedes Benz dinaiki Abdul Rahman yang kebetulan berhenti kerana kesesakan lalu lintas di situ.

Kedua-dua lelaki itu terus memecahkan tingkap cermin di kiri dan kanan bahagian belakang kereta itu lalu melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Abdul Rahman dan Sarjan Omar.

Pemandunya Sarjan Omar yang juga ditembak tetapi berjaya keluar dari kere­tanya itu untuk mendapatkan pertolongan namun rebah akibat kecederaan yang dialami­nya.

Keadaan kelam kabut berlaku apabila orang ramai menjerit-jerit dan sepasukan polis tiba dengan serta merta bagi memantau keadaan.



Demikianlah insiden pembunuhan paling kejam dalam sejarah negara selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang menyaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim mati ditembak di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974.

Peristiwa ini merupakan kemuncak kebangkitan semula Parti Komunis Malaya (PKM) selepas kumpulan pengganas itu berundur ke Thailand pada 1960.

Menurut buku “Misi Rahsia Pasukan F” Edisi Pertama 2017 oleh Azian Aziz yang diterbitkan oleh Utusan Melayu dengan kerjasama Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dan Pasukan F Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia, daripada maklumat yang diperolehi ada sekumpulan pengganas komunis dilatih menjadi anggota skuad pembunuh dan melakukan sabotaj ke atas institusi-institusi kerajaan dan pasukan keselamatan.

“Antara serangan yang dilakukan ialah membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974, meletupkan Tugu Negara pada 27 Ogos 1975 dan menyerang Markas Briged Tengah PPH di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pada 3 September 1975 yang menyebabkan dua anggota polis terbunuh dan 80 lagi cedera” (Misi Rahsia Pasukan F Edisi Pertama 2017: 20).



Abdul Rahman yang telah berkhidmat dalam pasukan polis selama 33 tahun mati ditembak merupakan seorang pegawai polis yang dedikasi dan pernah terlibat dalam pelbagai siri menumpaskan pemberontakan bersenjata komunis sejak 1948 lagi.

Selepas darurat diisytiharkan pada 1948 beliau telah ditukarkan ke Baling, Kedah menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Baling sebelum ditukarkan ke Kajang sebagai Pegawai Penyiasat pada bulan Mei 1949.

Kerjaya beliau terus meningkat apabila dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis pada Januari 1952 dan seterusnya dilantik menjadi Timbalan Pengarah Cawangan Khas pada tahun 1963 dan sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 1971.

Abdul Rahman dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara pada 31 Januari 1972 dan Ketua Polis Negara pada 1 Februari 1973 menggantikan Tun Salleh Ismail.

Semasa hayatnya, beliau telah dikurniakan Bintang Republik Indonesia yang dianugerahkan oleh Presiden Suharto (1970), Crown 2nd Class oleh Raja Thai (1970) dan Bintang Byayangkara Utama oleh Republik Indonesia (1973).

Wartawan Utusan Malaysia, Sirajuddin Rafia yang melaporkan kejadian itu sebagai tajuk utama akhbar Utusan Malaysia pada 8 Jun 1974: “KPN Dibunuh Dengan Kejam” menyatakan, inilah pembunuhan yang pertama ke atas seorang VIP Malaysia dalam sejarah negara selepas peristiwa 13 Mei 1969.



Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ibu pejabat polis Malaysia menyatakan, sekurang-kurangnya 11 das tembakan telah dilepaskan oleh kedua-dua orang pembunuh itu dalam tragedi kejam tersebut.

“Tujuh daripada tembakan itu terkena di bahagian bahu kiri, rusuk dan pangkal paha sebelah kiri Allahyarham menyebabkan beliau tersungkur ke sebelah kanan tempat duduk belakang keretanya.

“Kedua-dua orang pembunuh itu yang dipercayai menggunakan pistol automatik kemudian telah melarikan diri ke arah perhentian teksi Toong Fong berhampiran dengan tempat kejadian tersebut,” lapor Sirajuddin Rafia (Utusan Malaysia 8 Jun 1974).

Tan Sri Abdul Rahman yang bakal menyambut hari jadinya yang ke-51 pada 7 Julai 1974 meninggalkan seorang balu Puan Sri Halimah Mohd Isan dan tujuh orang anak, lima lelaki dan dua perempuan serta seorang cucu.

Perdana Menteri Tun Abdul Razak menyifatkan pembunuhan Ketua Polis Negara, sebagai suatu perbuatan jenayah yang paling kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Ini adalah suatu kekejaman yang tidak akan dilupakan oleh rakyat dan negara,” tegas Tun Abdul Razak (Utusan Malaysia Sabtu 8 Jun 1974).

Tun Razak memberi amaran kepada anasir-anasir anti nasional terutama puak pelampau bahawa kematian Ketua Polis Negara itu pastinya akan menguatkan lagi perpaduan dan azam rakyat berjuang untuk menghapuskan mereka (pengganas komunis) sama sekali.

– Utusan Malaysia –