Kompaun RM50,000 peniaga di Kelantan kini dikurang kepada RM2,000

Tiga peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 pada 25 April lalu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) mungkin boleh menarik nafas lega.

Berbanding jumlah yang tinggi ditetapkan sebelum ini, mereka sekarang cuma perlu membayar kompaun sebanyak RM2,000.

Pengurangan kompaun itu diberikan kepada peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38; peniaga colek, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan peniaga kedai runcit, Mansah Marjurin, 47, selepas selepas mereka mengemukakan rayuan.


Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri (UIPN) sudah menerima balik kes yang dihantar berkenaan kompaun RM50,000.

Menurutnya, bagi Wan Mohd Faisal kompaun RM2,000 itu diberikan mengikut garis panduan dan tidak boleh dikurangkan kerana dia melakukan kesalahan kedua.

“Bagi peniaga colek dan kedai runcit itu, kompaun dikeluarkan RM2,000 namun sekiranya ia dibayar dalam tempoh tujuh hari, mereka akan mendapat pengurangan 50 peratus.

“Jika mereka disahkan terdiri daripada golongan B40, mereka layak mendapat 50 peratus lagi pengurangan,” katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu hari ini.

Berdasakan kiraan itu – jika mereka layak – kata Zaini nilai kompaun yang perlu dibayar peniaga colek dan kedai runcit itu hanya perlu membayar RM500 saja.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, tiga peniaga berkenaan dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 25 April lalu.

Kesemua mereka dikenakan kompaun antara jam 11.10 sehingga 11.40 malam di sekitar Tanjung Chat dan Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu.


Susulan itu, isu mereka dikompaun diperkatakan pelbagai pihak selain banyak pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk menyediakan khidmat guaman percuma kepada mereka.

Sementara itu, Mohd Azizi ketika dihubungi bersyukur mendapat pengurangan kompaun sehingga RM2,000.

Katanya, dia hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu hari ini untuk mengambil keputusan rayuan tersebut.

“Selepas ini saya perlu mengemukakan pengesahan dokumen sokongan B40 untuk mendapat RM1,500 lagi pengurangan sekirangannya membayar dalam tempoh tujuh hari.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu selama ini.

“Insya-Allah saya akan menyelesaikan kompaun ini dalam masa tujuh hari,” katanya.

– MalaysiaKini –


(Visited 621 times, 1 visits today)