Kit Siang bidas Musa Hassan kait DAP dengan komunisme

PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan kenyataan bekas ketua polis negara Musa Hassan yang mendakwa parti itu mempunyai agenda untuk menulis semula sejarah dengan menghidupkan semula ideologi komunis.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Musa menghina polis Cawangan Khas sebagai tidak cekap, sedangkan ia merupakan antara pasukan terbaik di seluruh dunia.

“Sepanjang 5 dekad lepas, polis Cawangan Khas tidak menemui sebarang kaitan antara DAP dengan gerakan komunis.



“Tetapi Musa, yang merupakan ketua polis negara ke-8 dari 2006-2010, hari ini mendakwa DAP mahu menghidupkan semula ideologi komunis.

“Adakah Musa mencadangkan supaya polis menangkap dan menahan menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen DAP kerana mahu menghidupkan semula ideologi komunis sedangkan dakwaan itu tidak berasas sama sekali, tidak benar dan merupakan cebisan khayalan Musa semata-mata?”

Lim berkata, Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga perlu menimbangkan semula kedudukan Musa sebagai pensyarah di Pusat Kajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) kerana bekas ketua polis itu kini menjadi “lambang” bukan sahaja fenomena rabun media, tetapi juga pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian”.

Musa enggan memberi komen ketika dihubungi berhubung kenyataan Lim.

– Free Malaysia Today –



(Visited 172 times, 1 visits today)