Antara saat yang paling menyeronokkan sepanjang dalam PGA ni adalah ketika menjalani operasi di Pos-Pos barisan hadapan. Dengan jumlah anggota sehingga seramai 12 orang di dalam satu pos ianya ibarat satu keluarga besar yang meriah dah riuh. Datang pula dari latar belakang budaya dari setiap negeri, masing-masing dengan perangai yang tersendiri.
Paling meriah tentulah saat berbuka puasa. Walau berbuka dalam keadaan serba kekurangan tapi selera masing-masing tetap tak hilang. Ditambah dengan kemahiran chef chef PGA yang serba kreatif. Semua jenis masakan yang murah diolahnya menjadi mewah.
Di sinilah tempat terbaik bagi memupuk semangat ‘E-spirit-de-cops’ iaitu semangat setia kawan berpasukan dan persahabatan sesama anggota dengan pegawai dalam setiap keadaan susah dan senang.
Disinilah juga mereka tinggal dan menempuh hari mendatang dengan tugas dan amanah berbayar yang dipertanggungjawabkan. Semuanya demi menjaga sempadan dan kedaulatan negara dari dibolosi oleh belbagai aktiviti tidak bertanggungjawab terhadap penyeludupan barang dan pendaratan Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) yang menyelinap masuk melalui jalan yang tidak diwartakan.
Pandemik Covid19 yang membadai seluruh negara ketika ini, menuntut lagi agar sempadan negara diawasi dengan lebih ketat sehingga kekuatan rondaan telah ditambah dua kali ganda dari kebiasaan. Semuanya dilakukan demi mengekang dan mengelakkan penularan kes import daripada kemasukan PATI yang tidak diketahui tahap kesihatannya.
Siang hari mereka bergerak dan meronda sebelum malam hari pula berlabuh mencari perlindungan. Semuanya dilakukan secara bergilir-gilir 24 jam setiap hari. Setiap pengkalan, persisiran pantai, tali air dan jeti nelayan terutamanya di lorong-lorong tikus hendaklah dipantau dan dipastikan jauh dari anasir yang mengganggu kedaulatan dan keamanan negara.
Disiplin dan peribadi sebagai anggota Pasukan Keselamatan haruslah dijaga sepanjang tugas pengoperasian. Pelbagai dugaan harus ditempuh sama ada yang datang dari dalaman atau luaran. Disinilah peranan utama Incharge Pos dalam menjaga moral dan disiplin anak buahnya demi kejayaan operasi sebagaimana yang dituntut oleh Pegawai Pemerintah.
Alhamdulillah semuanya pengalaman berharga. Walau dengan keadaan fasiliti yang serba kekurangan tanggungjawab menjaga negara tetap ditunaikan. Merungut tetap ada namun hidup tetap diteruskan. Terima kasih kepada rakan sepasukan yang tidak terulung baktinya. Juga pada perjuangan orang lama yang telah menghirup pahitnya sehingga kami kini tinggal merasa manisnya sahaja.
#PDRM
#PapaGolfAlpha
#OpsCovidShield
Oleh – Mohd Hairul