Kilang topi keledar dikompaun RM10,000 langgar SOP

Butterworth: Padah mengisytiharkan kilang pembuatan topi keledar sebagai kilang peralatan perlindungan diri (PPE) menyebabkan premis itu diarah ditutup serta-merta dan pemiliknya dikompaun RM10,000, hari ini.

Dalam pemeriksaan kira-kira 11 pagi, sepasukan anggota polis bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menjalankan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).


Pemeriksaan ke atas 11 kilang di daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu turut dibantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Operasi itu membongkar kegiatan pemilik kilang helmet di Sungai Dua, di sini, yang didapati menjalankan perniagaan lain tidak seperti diisytiharkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semakan mendapati pemilik itu mengisytiharkan kilang terbabit menghasilkan PPE antaranya pakaian perubatan, pelitup muka dan sarung tangan getah.


“Namun, dalam operasi yang dijalankan in, kita mendapati kilang berkenaan menjalankan pembuatan topi keledar yang jelas menunjukkan pelanggaran SOP.

“Mengikut senarai MITI, pembuatan topi keledar bukan keperluan dan pemiliknya diarahkan menutup operasinya serta-merta selain dikompaun RM10,000,” katanya.

Menurutnya, tindakan penutupan kilang itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, operasi yang dijalankan itu mendapati kebanyakan majikan mengambil maklum mengenai kehadiran 60 peratus pekerja sahaja dibenarkan.

“Pematuhan ini termasuk juga dengan kilang yang mengisytiharkan perkara lain, tetapi buat benda lain dan dia tetap melanggar SOP,” katanya.

Dalam operasi itu, JTK turut mengeluarkan notis kepada majikan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) kerana menyediakan penginapan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

HARIAN METRO
Disiarkan pada: Jun 2, 2021 @ 3:13p


(Visited 604 times, 1 visits today)