KES PEMANDU LORI DIBELASAH – JANGAN BUAT SPEKULASI DAN FITNAH PDRM

KUALA LUMPUR. – Siasatan berhubung kes pemandu lori, Nasrul Faiz Zulfahmi, 25, dibelasah oleh sekumpulan lelaki di perkarangan kondominium di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat sini pada 14 Januari lalu hampir selesai.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, sebaik sahaja lengkap kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut dalam tempoh terdekat ini.

Menurut beliau, lima individu termasuk seorang wanita yang dipercayai mempunyai kaitan de­ngan kes itu masih direman bagi membantu siasatan.

“Kita akan serah (kertas siasatan) itu kepada DPP dalam masa terdekat ini untuk menentukan sama ada mereka didakwa atau tidak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setakat ini, seramai enam suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu telah ditahan selepas rakaman video berdurasi dua minit 49 saat yang menyaksikan seorang pemandu lori dibelasah sekumpulan lelaki mulai tular dalam laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Video itu menunjukkan mangsa memakai baju merah dipukul dan ditendang oleh beberapa lelaki tanpa belas kasihan.

Tangkapan pertama dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 32 tahun pada Sabtu lalu sebelum polis menahan empat suspek berusia antara 20 hingga 42 tahun terma­suk seorang wanita di sekitar Lembah Klang iaitu di Cheras, Kepong dan Kajang, semalam.

Seorang lagi suspek pula ditahan di Negeri Sembilan dan menjadikan jumlah semua suspek yang ditahan enam orang.

– UTUSAN –

Leave a Reply

Your email address will not be published.