KES INSPEKTOR SADERI….KES PEMBUNUHAN PALING SENSASI 39 TAHUN LALU!

Sekarang ini sedang berlangsung kes perbicaraan SRC International yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Peguambela kes ini adalah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala antara timbalan pendakwarayanya adalah Datuk V. Sithambaram.

Tetapi tahukah korang, kira-kira 39 tahun lalu, mereka berdua pernah ‘bertempur’ dalam satu kes pembunuhan cinta tiga segi yang cukup tragis melibatkan seorang Inspektor polis.



Ironinya, ketika itu Shafee adalah timbalan pendakwaraya manakala Sithambaram pula peguambela – terbalik!

Kes yang abam maksudkan adalah kes pembunuhan Allahyarham Salbiah Yeop Abdul Rahman, 27, yang dibunuh oleh kekasihnya sendiri, Inspektor Saderi Abdul Samat

Kes ini cukup menggemparkan negara satu ketika dulu kerana pembunuhan berlaku di Mes Pegawai Polis sendiri yang terletak di Jalan Scotland, Pulau Pinang.

Kejadian berlaku pada 15 November 1980

Untuk rekod, mayat Salbiah yang juga seorang pekerja kilang ditemui dalam keadaan hampir reput dan setelah disiasat, pihaknya mendapat tahu arwah adalah kekasih Saderi.



Tetapi ketika itu Saderi sudah pun bertunang dengan seorang wanita lain, Rubiah Tijan.

Setelah soal siasat dibuat ke atas Saderi, pegawai polis itu mengaku telah menghamilkan Salbiah namun suspek berkata, bukan dia yang membunuh mangsa sebaliknya mangsa yang membunuh diri kerana malu dengan keadaan dirinya yang telah berbadan dua.

Menurut Saderi, dia terkejut bila balik ke rumahnya di Mes Pegawai Polis apabila menemui mangsa yang telah tergantung dengan leher yang terjerut.

Kerana bimbang dituduh membunuh Salbiah, Saderi telah menggunakan sebilah gunting untuk memotong tali nylon yang menjerut leher Salbiah untuk menurunkan mayat kekasihnya itu.

Saderi kemudian membawa mayat itu dan diletakkan di tempat duduk penumpang depan kereta yang dipinjam daripada rakannya, Inspektor Che Ibrahim Che Muda sebelum membuang mangsa di sebuah lurah bukit dekat kawasan Tanjung Bungah, Pulau Pinang..

Tetapi semasa perbicaraan di mahkamah, ahli kimia, Hoong Seng Hong, dalam keterangannya pula menyatakan adalah mustahil untuk tubuh manusia seberat lebih 45 kilogram boleh tergantung pada paku yang patah pada alang dalam bilik air berkenaan.



Katanya, ujian yang dijalankan mendapati paku terbabit patah akibat ketukan biasa dan membengkok dan bukannya akibat menggantungkan objek seberat 45 kilogram.

Menurutnya, ujian yang dilakukan mendapati paku yang diketuk pada alang terbabit tidak berupaya menahan beban dan menjadi bengkok serta merta sebaik diletakkan beban seguni pasir seberat 45 kilogram

Ujian itu membabitkan penggunaan tiga batang paku sepanjang lima sentimeter setiap satu dengan ketebalan 2.7 milimeter.

Kayu pada alang itu juga keras dan memerlukan kekuatan untuk memakunya ketika dia memaku kira-kira dua sentimeter

“ Daripada ujian yang saya lakukan, ianya tidak boleh berlaku. Ia tidak mungkin,” kata ahli kimia itu

Akhir sekali bicara punya bicara, Saderi didapati bersalah dan mahkamah berpendapat teori bunuh diri itu hanya helah Saderi untuk mengelak daripada tuduhan membunuh tersebut

Saderi akhirnya digantung sampai mati pada tahun 1984.

Menariknya kes ini, sampai kesudah tiada saksi yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan tersebut, tali yang dikatakan menjerut leher Salbiah juga sampai ke sudah tidak ditemui.



Mahkamah hanya menjatuhkan hukuman itu berdasarkan circumstantial evidence (bukti situasi) dan keterangan post mortem yang mengatakan Salbiah mati disebabkan “strangulation and not hanging.”

Sampai saat akhir pun, Saderi masih tak mengaku membunuh Salbiah, dia tetap mengatakan yang Salbiah sendiri yang membunuh diri!

Dan hari ini Shafee dan Sithambaran sekali lagi bersemuka dalam mahkamah sekaligus membawa nostalgia 39 tahun lalu dalam kes yang tidak kurang mendebarkan.

Persoalannya jika dulu Shafee menang dan Sithambaram kalah, adakah kali ini beliau berjaya sekali lagi dalam kesnya atau adakah Sithambaram berjaya membalas dendam atas ‘kekalahannya’ dalam kes Saderi? Fuh menarik!

Errr…takde orang nak buat filem ke?

Penulis – Syahril A.Kadir



(Visited 2,431 times, 1 visits today)