Kereta peronda polis bertembung motosikal

KUALA LUMPUR: Sebuah kereta peronda polis hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah motosikal di Lebuhraya SPRINT berdekatan Plaza Tol Duta, di sini, lewat malam tadi.
Kejadian itu yang berlaku pada jam 11.05 malam menyebabkan mangsa berusia 27 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan dahi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Saleh, berkata pemandu dan rakan setugas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketika itu, katanya, dua anggota itu dalam perjalanan ke IPD Sentul selepas selesai tugas sebelum pemandu kereta peronda berkenaan mengubah laluan ke bahagian kiri dan bergesel dengan kereta lain.
“Sejurus itu, kereta peronda terbabit hilang kawalan dan melanggar motosikal berkenaan.
“Laporan polis sudah dibuat berhubung isu berbangkit.
“Kes disiasat mengikut Rule 6 (2) LN 166/59 kerana kecuaian mengubah laluan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya pada NSTP, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.