Kenyataan Exco Armada suatu tindakan provokasi murahan – Dr Masliha

KUALA LUMPUR – Kenyataan Exco Armada Nasional yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dianggap suatu tindakan provokasi murahan.

Malah, exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu perlu sedar bahawa UMNO sememangnya tiada masalah untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya Parlimen dibubarkan kerana parti itu telah bersedia, kata Exco Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun.



“Hormatilah Presiden kami seperti mana kami menghormati Presiden anda.

“Saya berharap kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberi perhatian serius terhadap perkara ini dengan mengambil tindakan tatatertib kepada ahli parti anda ini yang melampaui batas dalam kritikan terhadap Presiden komponen PN,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Masliha berkata, Mohd. Ashraf Mustaqim perlu tahu bahawa asas tertubuhnya PN ini adalah kebersamaan dan persefahaman antara ketua-ketua parti seterusnya dipersetujui oleh Yang diPertuan Agong apabila mahu menamatkan krisis kepimpinan negara yang telah dimulakan oleh Pakatan Harapan.



Katanya, cadangan Ahmad Zahid terhadap tuntutan UMNO Sabah itu merupakan permintaan kecil bagi membawa suara UMNO negeri itu sebagai mengimbangi pentadbiran pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran mereka turut menyumbang sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu untuk menjadi Perdana Menteri.

“Soalan saya pada saudara Asraf, dimanakah anda apabila parti anda mengangkat orang yg terlibat dengan rasuah terowong?

“Dimanakah anda apabila exco atau ahli Armada anda terlibat dengan kes 4 pagi bermain “tepung”

“Dimanakah anda apabila kes kehilangan duit RM250,000 oleh Ketua anda? Apa jawapan anda. Jangan hanya bersuara pada kes-kes terpilih,” soalnya. – MalaysiaGazette