Keadaan kesihatan Hamzah stabil di PPUM

Di sebalik beberapa hantaran media sosial mengenai kesihatannya yang dikatakan kritikal, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin disahkan berada dalam keadaan stabil.

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabatnya, Setiausaha Agung Bersatu itu sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

“Beliau ketika ini menjalani rawatan serta kuarantin PPUM dan tahap keadaan kesihatan beliau dalam keadaan stabil,” kata kenyataan tersebut.


Terdahulu beberapa mesej serta hantaran media sosial mendakwa keadaan kesihatan Hamzah merosot akibat dijangkiti Covid-19.

Ahli parlimen Larut di Perak berusia 63 tahun itu juga didakwa ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) disebabkan keadaan berkenaan.

Sehubungan itu kata kenyataan tersebut pejabat menteri dalam negeri memohon agar semua pihak terus mendoakan kesembuhan Hamzah.

“Sebarang perkembangan berkaitan tahap kesihatan Hamzah yang sahih dan rasmi hanya akan dikeluarkan pejabat menteri,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu beberapa pemimpin Bersatu yang dihubungi Malaysiakini – termasuk timbalan presidennya Ahmad Faizal Azumu – berkata mereka tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung kedudukan kesihatan Hamzah.

Hamzah dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pada 11 Jan lalu.

Selain Hamzah, anggota kabinet yang turut dijangkiti wabak itu bulan ini ialah menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun dan Menteri Perpaduan Negara Halimah Sadique.

Pagi tadi Ahli Parlimen Pasir Salark Tajuddin Abdul Rahman juga mengesahkan dia dijangkiti Covid-19.

– MalaysiaKini –


(Visited 49 times, 1 visits today)