KDN arah perketat kawalan sempadan Sabah

SHAH ALAM – Kesemua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diarah memperketatkan lagi kawalan sempadan darat dan laut negeri Sabah daripada pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kementerian berkenaan memandang serius peningkatan bilangan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) yang tinggi dan membimbangkan di negeri Sabah.



“Oleh yang demikian, agensi-agensi di bawah KDN iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah diarah memperketatkan lagi kawalan sempadan darat dan laut negeri Sabah.

“Saya turut mengarahkan bilangan anggota dan operasi yang terlibat dalam Op Benteng ditambah sebagai langkah memastikan pencerobohan PATI yang berkemungkinan membawa virus Covid-19 dan penyebarannya dalam kalangan rakyat tempatan dapat dikekang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata lagi, KDN akan terus memantau perkembangan terkini di semua lokasi panas (hot-spot) yang merupakan titik pendaratan atau lorong-lorong tikus digunakan oleh PATI untuk menceroboh masuk ke dalam negara.



Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 260 kes baharu jangkitan kes Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan di Malaysia sebanyak 11,484 kes.

Kes baharu positif Covid-19 di Malaysia kembali kepada tiga angka sejak beberapa minggu ini susulan peningkatan kes di Sabah dan ia menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Empat daerah di Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran berkuat kuasa 12.01 tengah malam pada 29 September 2020 sehingga 12 Oktober depan.

– Sinar Harian –