KDN akan mansuh akta SOSMA

 KDN akan mansuh akta zalim

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) berusaha meminda atau memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah meminta pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan keselamatan diluluskan Parlimen dan diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

“Saya telah mengarahkan Polis Diraja Raja Malaysia (PDRM) untuk merangka satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu dalam menangani kes-kes yang melibatkan penahanan di bawah undang-undang ini.

“Arahan saya supaya pihak penguatkuasa undang-undang seboleh mungkin meraikan hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan bergerak bebas selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata, sementara langkah pindaan ini dilakukan, polis tidak akan bertindak seolah-olah undang-undang ini berjalan seperti sebelumnya.

“Langkah ini bagi mengelakkan salah faham kononnya kerajaan PH masih mewarisi sikap zalim dan tidak bertanggungjawab seperti dulu,” tegasnya.

Menurut Muhyiddin, selaras dengan cadangan pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan keselamatan seperti yang terkandung dalam manifesto PH, Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Mengkaji Undang-Undang Keselamatan pada bulan Julai 2018.

“Setelah mendapat keputusan Jemaah Menteri, pihak Jabatan Peguam Negara akan menyediakan Rang Undang-Undang yang berkaitan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini  akan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat dalam bulan November 2018 atau selewat-lewatnya dalam sidang Dewan Rakyat yang  akan datang,” jelasnya.

Beliau memaklumkan antara isu yang dibincangkan jawatankuasa khas berkenaan ialah penahanan  tanpa bicara di bawah Poca dan Pota, tempoh tahanan reman yang panjang iaitu 60 hari di bawah Poca dan Pota serta 28 hari di bawah Sosma.

Termasuk juga ketiadaan ruang untuk mahkamah mengadakan semakan kehakiman dari segi merit ke atas penahanan di bawah Poca dan Pota, kuasa  pihak penguatkuasa yang terlalu luas, sekatan terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun dan penyalahgunaan undang-undang keselamatan untuk tujuan politik.

Sementara itu, lebih kurang 100 orang berhimpun di luar bangunan Parlimen menuntut pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Himpunan aman ini digerakkan Desak Sampai Mansuh (DSM), Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan keluarga tahanan Sosma menyerahkan memorandum rayuan mansuhkan Akta Sosma kepada Muhyiddin di Parlimen.

Penyelaras Suaram, Amir Abdul Hadi mendakwa, majoriti tahanan Sosma dituduh sebagai pengganas atau penjenayah terancang walaupun tanpa bukti yang kukuh dan tanpa kesalahan yang nyata.

Hal demikian katanya, himpunan ini mendesak kerajaan baharu memenuhi komitmen terhadap agenda reformasi.

“Kami menggesa supaya moratarium dikenakan ke atas akta ini agar ia tidak digunakan sementara ini, kaji semula proses rehabilitasi tahanan Sosma dan kerajaan perlu memastikan bahawa tahanan yang bakal dibebaskan selepas menjalani hukuman tidak akan ditahan semula bawah Poca dan Pota.

“Selain itu,menuntut hak sama rata untuk tahanan Sosma, mansuhkan Sosma dalam tempoh setahun  dan menubuhkan tribunal untuk menyiasat salah guna kuasa oleh pihak berkuasa,” katanya.

– SINAR HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.