Saksi pendakwaan ke-12, Manisah Othman mengesahkan menerima cek daripada Najib Razak berjumlah RM13,800 atas namanya, bagi membantu pendidikan anak-anaknya.
Semasa pemeriksaan utama oleh DPP Saifuddin, dia memberi keterangan menerima cek itu setelah Najib melawat suaminya, yang dirawat di Hospital Prince Court.
Manisah berkata suaminya sebelum ini pernah bekerja di Boustead Holdings sebelum bertugas di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Menurut Manisah lagi, suaminya meninggal dunia pada 2013 sebulan selepas dirawat di was Hospital Prince Court.
“Datuk Seri (Najib) berjanji untuk menjaga pendidikan anak-anak kami,” katanya, sambil menjelaskan cek itu diberikan kepadanya oleh rakan setugas suaminya di PMO yang bernama Khairul.
Menjawab soalan dari peguam bela Shafee Abdullah, dia bersetuju bahawa dia telah menerima bantuan dari Najib kira-kira RM9,000 pada tahun 2013.
Dia berkata menerima cek berjumlah RM29,520 pada tahun berikutnya.
Manisah telah menerima cek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM52,320 daripada bekas perdana menteri.
Bagaimanapun, katanya tiada lagi cek dikeluarkan kepada keluarganya selepas 2015, dan dia percaya hal ini kerana Najib tidak tahu anak-anaknya belum menamatkan pengajian mereka dan dia tidak mempunyai akses langsung untuk menghubungi Najib.
Terdahulu.
Seorang daripada empat pemegang amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak di Pekan, Pahang hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa cek bernilai RM400,000 yang diterima oleh organisasi itu pada 2015 daripada bekas perdana menteri Najib Razak adalah untuk tujuan kebajikan.
Abdul Munir Othman, 52, yang juga Pengarah Syarikat Tanjung Semarak Sdn Bhd, berkata beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada cek itu diterima di kementerian kewangan atau pejabat perdana menteri.
“Cek itu atas nama Pemegang Amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak,” katanya sambil menambah Najib merupakan penaung rumah penyayang berkenaan.
Saksi berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan kes Najib yang masuk hari keenam.
Muhammad Saifuddin: Adakah dana RM400,000 kamu minta atau macam mana?
Abdul Munir: Saya minta.
Muhammad Saifuddin: Dana itu digunakan untuk tujuan apa?
Abdul Munir: Dana itu digunakan untuk pembayaran gaji, (membeli) barang makan dan perbelanjaan pengangkutan budak sekolah.
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, saksi berkata semua dana berkenaan digunakan untuk kebajikan, bukannya kepentingan peribadi.