KUALA LUMPUR – Sultan Johor Sultan Ibrahim berpuas hati dengan gabungan parti baharu yang ditubuhkan di negeri itu yang mana telah mendapat sokongan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding Pakatan Harapan yang mendapat sokongan daripada 26 ADUN sahaja.
Menurut Setiausaha Sulit baginda, Datuk Jaba Mohd Noah, Sultan Ibrahim sebelum itu telah memanggil 56 ADUN untuk ditemubual, semalam.
Daripada jumlah tersebut dua ADUN iaitu Simpang Jeram dan Puteri Wangsa tidak dapat menghadirkan diri dalam sesi yang berlangsung selama dua jam di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.
“Oleh yang demikian, gabungan parti baharu berhak untuk membentuk kerajaan dan mereka berhak untuk memberikan cadangan nama calon Menteri Besar sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik.
“Duli Yang Maha Mulia Tuanku berharap agar pentadbiran kerajaan Negeri Johor segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua rakyat Johor Darul Takzim,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
– MalaysiaGazette