‘Jika saya guru displin zaman ini, saya akan keluar masuk lokap ‘- Cikgu Osman

SEJAK kebelakangan ini, isu seorang guru memukul seorang pelajar perempuan kerana kesalahan memanggilnya ‘pondan’ mendapat perhatian netizen dan tidak terkecuali seorang bekas guru displin.

Lebih dikenali Osman Marcom, beliau memuat naik status di Facebooknya berhubung isu tersebut.

Katanya, sekiranya beliau masih memegang jawatan sebagai seorang guru displin, mungkin setiap minggu dia akan keluar masuk lokap.



“Jika saya adalah guru disiplin di zaman ini, sayalah guru yang akan setiap minggu keluar masuk lokap dan turun naik mahkamah atau lebih buruk saya merengkok dalam penjara dan hilang pekerjaan.

“Alhamdulillah, semua bekas anak murid saya yang pernah merasai air tangan (rotan) kini berjaya dan menjadi manusia berguna.

“Terima kasih ibu bapa kerana tidak pernah mahu menyaman saya walau pun pernah merotan menyebabkan kecederaan parah di punggung anak murid,” katanya.

Mengimbau kembali saat beliau mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Indah, kata Osman, dirinya juga pernah mengalami situasi tegang bersama pelajar.



“Bekas pelajar SMK Pandan Indah mungkin masih ingat saya dicabar oleh seorang pelajar yang ponteng majlis Yasin pada pagi Jumaat untuk menangkap dan mengejarnya tiga pusingan keliling bangunan sekolah.

“Hampir saja cikgu yang meninggal dunia,” katanya.

Bukan itu sahaja, meskipun pernah menelan pahit manis, asam garam dalam dunia pendidikan, Osman yang kini ketua unit akademik Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka tetap menzahirkan ribuan terima kasih kepada pelajarnya.

“Terima kasih semua anak murid cikgu yang tidak pernah lupa pada cikgu.

“Anda semua adalah warna warni kehidupan cikgu. Kenakalan adalah kebijaksanaan,” ujarnya.

Perkongsian meruntum jiwa itu nyata menyatukan semula hubungannya dengan bekas pelajar yang terpisah setelah masing-masing tamat persekolahan.



Rata-rata mereka (pelajar) tanpa segan silu berkongsi kenangan bersama guru hebat itu.

Pelayar Facebook juga bekas pelajar Osman, Kathy Zaki, tampil berkongsi kisah.

“Terima kasih cikgu Osman Marcom dan Ishak Abdullah atas didikan. Teringat masa habis waktu rehat, duduk ‘bersidai’ di tepi koridor, zapppp je sekali, pastu taubat tidak buat, tapi saya tau itu pukulan rotan yang manja.” katanya.

Tidak ketinggalan juga, Ahmad Azin Othman turut berkongsi ceritanya tersendiri.

“Saya pernah terima hayunan rotan cikgu Osman Marcom baik ketika perhimpunan atau dalam kelas… hahaha… Alhamdulillah tidak pernah terasa hati pada cikgu sebab setiap kali cikgu rotan cikgu selalu cakap yang cikgu buat untuk kebaikan saya. Terima kasih cikgu… ” katanya.

Bagi Shah Rayyan, “Terima kasih cikgu Osman untuk segalanya, terima kasih untuk rotan dan guntingan rambut gaya bertakuk-takuk telah menjadikan saya seorang insan yang berjaya serta berkhidmat untuk negara. #ketuakelas yang selalu sangkut ‘spotcheck’ rambut panjang. Bekas SMKPI 1997-2001,”

Sementara itu, kes guru pukul pelajar ini telah mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

– SINAR HARIAN –