‘Jika Adib ditarik, perlu masa lama’

SHAH ALAM: Saksi ke-24 inkues prosiding kematian Muhammad Adib Mohd Kassim menolak cadangan peguam Syazlin Mansor bahawa anggota bomba itu ditarik keluar.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi, berkata berdasarkan kepada rakaman video yang dikemukakan di mahkamah, ada pada satu ketika ia merakamkan pada arah lain iaitu pokok dan jalan di tempat kejadian dan tempoh itu adalah singkat untuk Muhammad Adib diserang.

Berdasarkan video berdurasi 46 saat itu, Muhammad Adib masih ada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) pada saat pertama hingga saat ke-28 dan pada saat ke-38, van EMRS sudah berpusing.



“Dari saat ke-28 hingga rakaman tamat, kira-kira 18 saat, ia satu masa singkat untuk pelbagai perkara berlaku.

“Contoh ditarik. Seseorang bertubuh tegap dan anggota beruniform yang terlatih, akan mengambil masa (untuk ditarik)

“Menarik seseorang yang bertubuh tegap yang mempunyai keupayaan yang tinggi akan mengambil masa yang lama.

“Dalam tempoh 18 saat itu, mangsa mendapat kecederaan dialaminya dan dia dijumpai dalam keadaan cedera,” katanya menjawab soalan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di sini, hari ini.



Saksi sama yang mempertahankan teori kebarangkalian yang diperoleh itu berkata, apa yang diterangkan kepada mahkamah adalah hasil dapatan daripada jangka masa video rakaman itu.

Katanya, jika ditarik, pelaku bukan sahaja menarik untuk mengeluarkan seseorang itu tetapi perlu mencengkam sebarang anggota badan yang boleh dipegang.

“Dalam pemeriksaan klinikal dan mayat, tiada tanda cedera lebam yang berpadanan dengan kesan cengkaman.

“Kalau kekasaran dilakukan dari arah belakang, walaupun mangsa dalam keadaan tidak bersedia dan sedar, dia masih boleh mempertahankan diri,” katanya.

Dr Ahmad Hafizam tetap mempertahankan teori kebarangkalian yang dibuatnya walaupun Syazlin mempersoalkan kedudukan Muhammad Adib yang masih berada di dalam van EMRS ketika pengunduran jentera Fire Rescue Tender (FRT) melanggar van EMRS berkenaan.

“Teori dibuat berdasarkan corak kecederaan pada tubuh si mati, bukan ketika mangsa berada dalam EMRS.

“Si mati mendapat kecederaan selepas keluar dari van EMRS itu,” katanya.

– BERITA HARIAN –