PETALING JAYA: Tindakan UMNO dan PAS yang berkeras mahu mengadakan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai janggal.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata UMNO dan PAS perlu sedar perhimpunan itu tidak wajar diteruskan memandangkan Kabinet memutuskan tidak meratifikasi ICERD.
Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kedua-dua parti itu sepatutnya memikirkan kesan jika perhimpunan itu diadakan ketika negara sedang berdepan isu sensitiviti kaum ketika ini.
“Bagi saya itu (memikirkan kesan perhimpunan) lebih penting. Saya fikir tidak wajar teruskan perhimpunan untuk bantah ICERD kerana tidak munasabah sebab Kabinet tolak.
“Saya minta kebijaksanaan pimpinan UMNO dan PAS kerana kita tidak boleh nafikan ada keresahan kaum sekarang. Saya lihat janggal (teruskan) dan harap jangan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas melancarkan buku ‘9 Mei 2018: Catatan Dari Barisan Hadapan’ karya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad di sini, hari ini.
UMNO sebelum ini mahu menyertai perhimpunan di ibu negara pada Sabtu ini bagi melahirkan rasa syukur kerana Kabinet tidak akan meratifikasi ICERD, manakala PAS mahu ia diteruskan dengan berpendapat kerajaan gagal menunjukkan kesungguhan tidak meratifikasi ICERD dan lima perjanjian antarabangsa lain.
Mengulas desakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Dr Ibrahim Ali supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), P Waytha Moorthy meletak jawatan susulan kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mahariamman, Anwar berkata perkara yang harus diutamakan adalah menyelesaikan terlebih dulu kes berkenaan.