JANGAN PATAHKAN SEMANGAT USTAD EBIT DALAM MELAKSANAKAN KERJA AMAL

Memang tidak dapat dinafikan lagi Ustad Ebit Liew banyak memberikan bantuan kepada golongan asnaf dan tidak berkemampuan namun malangnya usaha beliau itu dicemari dengan kata-kata sindiran dan sinis daripada pihak tertentu.

Dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, beliau banyak melaksanakan kerja-kerja amal. Terbaru beliau membantu satu keluarga di Kedah tapi malangnya Ebit dituduh cuba menunjuk akan kebaikannya. Malang sungguh bila ada di kalangan mereka yang digelar ustad turut memburukkan Ebit.



Namun ramai yang menyokong kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Ebit, kerana bukan semua orang memiliki kekuatan untuk memberi bantuan tanpa kenal erti penat dan bahaya penularan covid-19.

Terbaru Ebit dikritik hanya kerana membantu seorang warga emas yang mengalami strok dan mempunyai berbelas-belas anak yang menetap dengannya di Alor Setar. Keadaan rumah mereka kotor dan berbau manakala anak-anak tersebut tidak ke sekolah. Keadaan itu sudah bertahun-tahun berlaku.

Ebit kemudiannya mencarikan rumah untuk mereka sewa dan selepas bertanya pada banyak tempat, akhirnya sebuah rumah berjaya dicari dengan sewa sebanyak RM800. Beliau juga berjanji untuk membayar sewa rumah tersebut. Ebit turut menghubungi ambulan untuk membawa warga emas berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Meskipun ada yang mencemuh Ebit namun beliau mendapat sokongan ramai termasuk Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan yang meminta supaya pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan beliau supaya tidak mematahkan semangat Ebit.

“Setiap bantuan besar mahu pun kecil sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada mereka yang terkesan akibat daripada PKP ini.



“Apa jua alasan, kita seeloknya tidak ada sifat negatif hingga ada rasa siapa lebih baik atau siapa lebih layak menghulurkan bantuan.

“Kita sepatutnya berterima kasih kepada siapa sahaja pihak yang mahu datang membantu insan memerlukan. Jangan jadikan ia sebagai isu politik hingga ada tindakan kecam-mengecam sesama kita,” kata Zahida.

Sumber > https://therakyatinsight.com/