Jangan lupa warga emas – POLIS

PENGARAH Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah menunjukkan paparan skrin keadaan banjir di Pusat Kawalan Malaysia, Bukit Aman. – Foto Sairien Nafis


KUALA LUMPUR: Masyarakat diminta prihatin dengan warga emas, sama ada ahli keluarga sendiri atau jiran ketika operasi pemindahan akibat banjir.

Mereka diminta menyalurkan maklumat segera kepada pihak berkuasa ketika air naik supaya mangsa dapat diselamatkan segera.

Ini kerana mangsa banjir yang terkorban adalah terdiri daripada mereka yang berumur 60 hingga 90-an.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai mangsa warga emas untuk diberi keutamaan dalam proses perpindahan dan menyelamat.

“Dalam keadaan dan situasi seperti ini, masyarakat perlu mengambil tahu perihal saudara-mara, sahabat atau jiran mereka yang tinggal bersendirian untuk membantu mereka dari mengalami sebarang musibah.

“Justeru apabila maklumat dapat disalurkan, pihak polis dan agensi keselamatan yang terbabit akan melaksanakan tugas menyelamatkan mereka,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, tengah hari tadi.

Beliau berkata, pada masa ini seramai 187 pegawai dan anggota polis dari luar Pulau Pinang, sudah dikerahkan ke negeri berkenaan dalam operasi membantu dan menyelamat.

“Pada masa sama, kita juga sudah mempersiapkan bantuan tambahan seramai 3,500 pegawai dan anggota dari negeri-negeri lain sekiranya keadaan bertambah buruk termasuk penyediaan logistik seperti bot dan bekalan kecemasan.

“Penduduk yang kediaman mereka dinaiki air turut dinasihatkan untuk segera berpindah kerana fenomena banjir ini air naik dengan terlalu cepat dan boleh membahayakan keselamatan,” katanya.

Zulkifli berkata, sebahagian mangsa menjangkakan air banjir yang naik di kediaman mereka akan surut dalam masa yang singkat namun sekiranya keadaan berlaku sebaliknya tindakan menyelamat mungkin menghadapi kesukaran,” katanya.

– Berita Harian –

Leave a Reply

Your email address will not be published.