Jamin ditolak, Jamal masuk lokap

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas satu pertuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak polis di Hospital KPJ Ampang Puteri di sini, 25 Mei lalu.

Jamal, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali.

Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang mana dia sudah ditahan secara sah di sisi undang-undang.

Dua daripada tiga kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan (ceroboh) yang sudah dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pada Mei lalu manakala kesalahan di bawah Seksyen 290 Kanun sama (khianat) dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam, pada bulan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Jamal di Hospital KPJ Ampang Puteri di sini, antara jam 2 hingga 3 petang, 25 Mei lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 30 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Razali Che Ani selain dua Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan Mahathir Mohd Khairuddin manakala Jamal diwakili peguam Khairul Annuar.

Pada 26 Mei lalu, media melaporkan Jamal dipercayai menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini ketika proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang disiapkan berhubung tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.