Jabatan Veteran ATM: Kerajaan tiada dana bayar pesara RM1,200

Skim BBN mula diagihkan kepada pesara tentera tidak berpencen pada kadar RM1,000 setahun pada 2016, sebelum dinaikkan kepada RM1,200 pada 2017. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) berkata, Kementerian Pertahanan sedang menjalankan kajian untuk mencari alternatif lain meringankan beban kos sara hidup pesara tentera tidak berpencen kerana Kementerian Kewangan tiada dana untuk membayar Bantuan Bakti Negara (BBN) sebanyak RM1,200 setahun kepada veteran tidak berpencen.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, RM53 juta yang digunakan untuk membayar BBN kepada veteran tidak berpencen sebelum ini datang daripada penjualan tanah kem tentera bagi tujuan menaik taraf kem sedia ada.

“Tindakan ini telah mengakibatkan program menaik taraf kem-kem ATM sedia ada ditangguhkan. Justeru, bagi 2018 dan 2019, keutamaan diberikan kepada program menaik taraf kem ATM sedia ada yang tertangguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan aduan pesara tentera tidak berpencen yang terkilan dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak meneruskan skim BBN yang dibayar kerajaan terdahulu menjelang akhir tahun.


Pengerusi Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen Pahang, Mohd Sani Ishak sebelum ini dilaporkan berkata, rata-rata pesara terkesan kerana RM1,200 dapat membantu bekas tentera menyara keluarga.

Beliau turut meminta kerajaan PH menaikkan kadar BBN kepada RM2,500 setahun, menambah baik kebajikan untuk pesara menghidap penyakit kronik kerana mereka pernah berjuang mempertahankan negara menentang komunis.

Skim BBN diperkenalkan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang mula diagihkan pada 2016 pada kadar RM1,000 setahun, sebelum dinaikkan RM200 pada 2017.

Terdapat lebih 60,000 pesara tentera tidak berpencen seluruh negara.

Dzulkarnain berkata, kajian untuk mencari jalan lain membantu veteran akan dibentangkan dalam Majlis Veteran Kebangsaan yang dijangka diadakan 28 Februari ini.

Sumber – freemalaysiatoday

Leave a Reply

Your email address will not be published.