BACHOK: Jabatan Perikanan Kelantan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor berjaya merampas 320 bubu naga bernilai RM49,400 dalam Ops Bersepadu.
Rampasan itu dibuat sepanjang tiga hari operasi bermula 18 Oktober hingga semalam membabitkan pemeriksaan ke atas 40 vesel penangkapan ikan.
Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata, tangkapan itu dibuat hasil operasi di 15 jeti penempatan nelayan tradisi, pesisir muara sungai dan laut dalam di perairan negeri itu.
Hasil daripada operasi itu, beliau berkata, pihaknya menemui ratusan bubu naga di dalam bot nelayan, di jeti dan sebahagiannya dipasang di dalam laut dan sungai.
“Bubu yang dilesenkan sepatutnya tidak boleh mempunyai lebih daripada dua injap seunit, tetapi bila di periksa mereka (nelayan) menggunakan lebih daripada yang dibenarkan.
“Ini menyebabkan aktiviti memberi kesan kepada benih-benih ikan yang sepatutnya membesar dan memusnahkan sumber yang berpotensi,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Jeti Pangkalan Perlindungan Sumber Tawang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad.
Nazri berkata, operasi itu membabitkan 26 pegawai dan anggota dari Jabatan Perikanan Kelantan dan PPM menggunakan tiga aset laut.
Katanya, tumpuan operasi membabitkan pemeriksaan vesel perikanan serta kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.
Rampasan dibuat atas kesalahan Akta Perikanan 1985 Seksyen 11(3)(c) dan Pekeliling Pelesenan Bilangan 5/2018 yang berkuatkuasa 1 November 2018.
Daripada Januari hingga semalam, katanya, sebanyak 21 kes sitaan bubu naga dengan anggaran rampasan keseluruhan RM51,400.
– BERITA HARIAN –