Isu harga petrol: “TIADA IDEA LAIN KE ??”

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menyindir
kerajaan PH tiada idea lain dalam mekanisme penetapan harga minyak
petrol daripada secara bulanan kepada mingguan, bermula 1 Januari depan.

Beliau berkata, kaedah itu dilihat tidak berubah seperti mana
dilaksanakan ketika BN memerintah negara.

“Jika harga bertukar setiap minggu, itu sama dengan kerajaan BN dulu.
Tak ada idea lain ke Lim Guan Eng (Menteri Kewangan)?,” soalnya menerusi
ciapan di Twitter miliknya hari ini.


Mengulas tentang penurunan harga Ron95, Ahmad yang juga Ahli Majlis
Tertinggi Umno berkata, ia sebenarnya tiada kaitan dengan kerajaan PH,
sebaliknya disebabkan harga minyak dunia turun.

“Mungkin turun kepada RM1.90 seliter dan dah tiada subsidi. Kenapa tak
turunkan kepada RM1.50 dan beri subsidi?,” soalnya.

Semalam, Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan
menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk Ron95 kepada harga
yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019 [click], sejajar dengan trend penurunan
harga pasaran minyak dunia ketika ini.


Katanya, kerajaan juga akan menukar kaedah penetapan secara bulanan di
bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada penetapan secara mingguan
berkuatkuasa tarikh berkenaan, dalam keadaan harga minyak dunia yang
menurun sekarang.

Jika harga petroleum di pasaran dunia meningkat, kenaikan tersebut akan
dikawal dan dihadkan kepada RM2.20 seliter untuk Ron95 dan RM2.18 untuk
diesel.

Pengekalan harga itu adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi
petrol Ron95 secara bersasar dilaksanakan tahun depan.

– SINAR HARIAN –

Leave a Reply

Your email address will not be published.