*SEJAK* beberapa hari lalu, kisah tentang seorang anggota polis yang
sanggup membantu seorang pencuri roti di sebuah pasaraya sekitar 10
tahun lalu tular di media sosial.
Namun kes kecurian itu bukan menjadi perhatian warganet sebaliknya cara
dan kata-kata Sarjan Mejar Sharudin Abu Bakar, 60, dalam menyelesaikan
kes itu membuatkan ramai terkesan dalam melihat sesuatu perkara itu
dalam cara berbeza.
“Sekarang ini Allah bukan uji hang tapi Allah tengah uji aku untuk
tengok apa aku boleh buat dengan pangkat yang aku ada bagi membantu
sesama saudara yang tengah susah,” katanya seperti diceritakan oleh Lans
Korperal Muhamad Azizan di Facebook.
ARTIKEL BERKAITAN: Apa Cerita Polis Dan Lelaki Curi Roti Gardenia ?
Ungkapan itu meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang
membacanya termasuklah Azizan sendiri yang memegang kata-kata itu
sehingga ke hari ini.
Azizan yang dihubungi /mStar/ berkata, dia sentiasa terkenang akan
kejadian dan kata-kata Sharudin dalam menjalankan tugasnya dengan lebih
cekap dan amanah.
Perkongsian Azizan mengenai kisah Sharudin menjadi tular di media
sosial
“Peluang bekerja bersamanya sebelum ini memang menjadi kenangan buat
saya sehingga akhir hayat kerana banyak yang saya belajar daripadanya.
“Beliau seorang yang sangat tenang, murah dengan senyuman. Kata-katanya
itu memang saya pegang dan akan terbayangkan wajahnya apabila
mengendalikan kes seumpamanya,” katanya.
Azizan, 32, berkata, dia sempat bekerja dibawah selian Sharudin selama
beberapa tahun yang ketika itu memegang jawatan sebagai timbalan ketua
balai polis di Pulau Pinang sebelum mereka masing-masing bertukar ke
balai berbeza.
Mengimbau kes tersebut, Azizan berkata, lelaki itu dibawa ke balai polis
selepas pihak pasaraya berkenaan enggan menyelesaikan kes itu dengan baik.
Katanya, Sharudin terkesan sehingga sanggup mengeluarkan wang dari
poketnya sendiri sebagai ganti rugi kepada pihak pasaraya itu sebanyak
10 kali ganda daripada nilai asal selepas mengetahui suspek mencuri dua
buku roti kerana ingin memberi anaknya makan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kisah Polis Dan Roti Tular, Rupa-Rupanya….
“Nilai roti tak sampai RM10 dan tiga kali aku bertanya kepada pengawal
itu sama ada ingin tangkap juga? Tetapi pengawal itu juga hanya
menjalankan tanggungjawabnya selain ia arahan pihak atasan pasaraya itu.
“Dalam kereta aku tanya kenapa mencuri? Dia cakap tak ada wang nak
beli… curi pun sebab nak bagi anak dia makan kat rumah. Terkedu aku
dengar. Dia cakap anak dia dah dua hari tak makan nasi.
“Dia cuma mampu bagi anak dia makan keropok sahaja yang berharga 20 sen
sebungkus. Lepas dengar, bergenang air mata sebab terbayang anak sendiri
di rumah,” ujarnya.
Sementara itu, anak Shahrudin iaitu Mohd Zhafrie Sharudin, 29, pula
mendedahkan bapanya itu seorang yang tegas terutamanya dalam soal
pendidikan agama serta pelajaran di sekolah.
Bagaimanapun dalam ketegasannya itu, Zhafrie menyifatkan bapanya itu
seorang yang peramah dan disenangi oleh rakan-rakan sekerjanya.
“Jujurnya seperti mana bapa yang lain dia memang tegas dengan kami empat
beradik terutama tentang soal agama dan pelajaran tapi dia seorang yang
‘cool’.
Gambar terbaharu Sharudin bersama keluarga pada Aidilfitri yang lalu
“Kalau ada buat kenduri di rumah memang semua rakan-rakan pejabat dia
akan hadir dan mereka memang rapat,” ujarnya.
Zhafrie memberitahu dia sebenarnya terkejut apabila kisah mengenai
bapanya tular kerana lelaki itu tidak pernah menceritakan hal tentang
kerja di rumah.
“Sekarang pun bapa sudah pencen dan banyak menghabiskan masa di rumah
untuk berehat. Saya tahu pun tentang kisahnya yang viral apabila ada
orang muat naik kisah bapa berserta gambarnya.
“Terkejut tu memang terkejut tetapi sebagai anak pasti saya ada rasa
bangga dengannya kerana bapa sendiri tidak pernah bercerita tentang apa
terjadi ketika dia bekerja.
“Alhamdulillah kisah itu menjadi inspirasi kepada ramai orang malah saya
sendiri terusik dengan apa diceritakan oleh orang lain tentangnya,” ujarnya.
Sumber – MStar Online