Individu sebar maklumat palsu akan ditangkap

KUALA LUMPUR: Polis tidak teragak-agak untuk menangkap individu termasuk ahli politik yang menyebar maklumat palsu dan membangkitkan isu perkauman menerusi media sosial berhubung kes kemalangan maut di Kilometer 293.5, Lebuhraya Utara Selatan, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata ketika ini, pihaknya dalam proses mengenal pasti latar belakang individu terbabit.

“Setakat ini tiada tangkapan, kita masih kenal pasti individu itu. Baru-baru ini, ada seorang ahli politik menerusi satu klip video yang tular di media sosial turut dilihat cuba membakar sentimen perkauman.

“Kita akan siasat perkara ini, polis harap orang ramai jangan burukkan lagi keadaan sebaliknya tampil ke balai polis jika mempunyai maklumat berkaitan,” katanya pada BH, hari ini.

Fadzil berkata penyebaran berita palsu itu secara tidak langsung mengganggu proses siasatan polis terhadap insiden berkenaan.

“Fokus polis adalah untuk menyelesaikan kes berbangkit, namun pada masa sama timbul pula berita palsu disebarkan individu tidak bertanggungjawab yang sedikit sebanyak ganggu siasatan.

“Kita komited untuk mengesan dalang di sebalik penyebaran maklumat palsu bagi memastikan individu berkaitan tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kes, beliau berkata pihaknya sudah merakam keterangan beberapa saksi kemalangan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Perincian mengenai keterangan saksi tidak boleh didedahkan.

“Polis juga ingin memohon saksi lain untuk tampil secepat mungkin bagi bantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, BH difahamkan tiada kamera litar tertutup (CCTV) ditempatkan di lokasi insiden kemalangan di Kilometer 293.5, Lebuhraya Utara Selatan, berdekatan persimpangan Southville City, dekat Bangi.

CCTV terdekat diletakkan di Kilometer 294 lebuhraya berkenaan iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian menyebabkan ia tidak dapat merakam insiden terbabit.

-BERITA HARIAN-