Individu kritik Raja-Raja Melayu akan dipanggil polis

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil beberapa individu yang didakwa
mengkritik Raja-Raja Melayu semasa forum mengenai Statut Rom, yang
berlangsung di Universiti Malaya, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya
menerima laporan polis berhubung isu tersebut dan siasatan sedang
dijalankan.

“Sama ada kita akan memanggil individu terlibat ini atau tak, ia
bergantung kepada laporan siasatan. Jika perlu, kita akan panggil.



“Kita akan lihat apa kesalahan dan keperluan untuk memanggil pihak
terbabit. Siasatan juga akan dibuka sama ada mengikut Akta Hasutan atau
undang-undang berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis
Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Semalam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan
polis terhadap Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin
Ali yang didakwa mengkritik Raja-Raja Melayu ketika forum terbabit
berlangsung.

Laporan polis ini juga mengaitkan Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua
Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq
Ali Sethi Alivi serta beberapa individu lain.



Difahamkan, forum itu diadakan susulan pendedahan rumusan eksekutif yang
dibentangkan ahli akademik yang dikatakan digunakan bagi meyakinkan
Majlis Raja-Raja Melayu menolak Statut Rom.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyerahkan replika kunci IPD Brickfields
sebagai gimik perasmian IPD baharu itu yang mempunyai keluasan 2.5
hektar dan siap pada tahun lepas dengan kos sebanyak RM40.6 juta.

Seramai 1,530 anggota dan pegawai di terdapat di daerah ini daripada
tujuh balai polis di bawah IPD Brickfields ini yang memberikan
perkhidmatan penguatkuasaan undang-undang kepada lebih 1.1juta penduduk.

– SINAR HARIAN –



(Visited 66 times, 1 visits today)