GEORGETOWN: Indeks jenayah di Pulau Pinang dalam tempoh empat bulan tahun ini meningkat 1.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk T Narensagaran, berkata sebanyak 1,702 kes direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah dalam tempoh berkenaan tahun ini, berbanding hanya 1,616 kes tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, 54.3 peratus kes berjaya diselesaikan dengan 40 peratus pertuduhan direkod membabitkan 122 suspek.
“Walaupun berlaku peningkatan kadar jenayah, ia (indeks jenayah) hanya sebagai penunjuk dan jumlah bilangan laporan polis yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Narensagaran berkata, peningkatan laporan polis menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan semakin meningkat.
“Kebiasaannya, indeks ini naik dan turun tetapi jenayah di Pulau Pinang masih dalam keadaan terkawal.
“Secara purata, kita hanya mempunyai 15 kes yang kita buka kertas siasatan setiap hari berbanding kawasan lain sebanyak 40 kes,” katanya.
Katanya, Jabatan Siasatan dan Penguat Kuasa Trafik turut mencatat peningkatan kes kemalangan maut sebanyak lapan kes bersamaan 8.42 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kemalangan mencatatkan penurunan daripada 11,539 kepada 11,347 kes,” katanya.
Sementara itu, Narensagaran berkata, seramai lapan anggota polis berpangkat rendah di Pulau Pinang dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan, sehingga April lalu.
Beliau berkata, tindakan itu dikenakan terhadap anggota yang terbabit atas kesalahan jenayah, dadah dan tatatertib.
“Secara keseluruhan kes berhubung tindakan tatatertib membabitkan pegawai dan anggota polis di negeri ini mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu.
“Setakat ini, tujuh kertas siasatan tatatertib dibuka membabitkan lapan anggota dikenakan tindakan berbanding tahun lalu hanya tujuh anggota
“Tindakan ini perlu diambil kerana ia berkaitan dengan sasaran kita mahu mengurangkan angka dan jika boleh ke sifar pada masa hadapan,” katanya.
Narensagaran berkata, PDRM mempunyai Skim Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) yang diguna pakai untuk memantau anggota setiap minggu supaya tidak terjebak dengan kesalahan tatatertib.
“Anggota polis juga manusia biasa yang berkeluarga dan mempunyai masalah kewangan. Jadi kita harap anggota dapat menjaga diri dan kewangan masing-masing dengan baik,” katanya.
– BERITA HARIAN –