IBU CUAI, BUDAK LELAKI LEMAS DALAM BALDI

PULAU PINANG 2 Ogos – Tindakan seorang ibu meninggalkan anaknya yang berumur setahun tujuh bulan seketika di dalam bilik air untuk mengambil tuala mengundang malapetaka apabila anaknya itu maut selepas lemas di dalam baldi dalam bilik air tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi ini, kanak-kanak malang itu, Jefril Mohd. Amnan Mohd. Jaki ditinggalkan seketika oleh ibunya di dalam bilik air rumah mereka di Jalan Sungai Dua, Glugor di sini.

Bagaimanapun sebaik sahaja ibunya tiba semula, dia mendapati anaknya itu terjatuh dengan bahagian kepala di dalam baldi, manakala kaki pula di luar baldi di dalam bilik air tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, terkejut dengan kejadian itu, ibu mangsa kemudiannya menyelamatkan anaknya dan menjerit memanggil suaminya yang sedang tidur sebelum membawa kanak-kanak ter­sebut ke klinik.

Bagaimanapun, tambah beliau, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Ketika meninggalkan anaknya di dalam bilik, ibu mangsa sempat berpesan kepada seorang lagi anak perempuannya yang berusia lima tahun supaya melihat mangsa di dalam bilik air tersebut.

“Kita difahamkan mangsa merupakan kanak-kanak aktif dan sudah boleh berjalan,” kata­nya di sini hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, hasil siasatan mendapati ibu mangsa yang berusia 33 tahun dan be­kerja di sebuah kilang di sini sebelum ini, tidak pernah meninggalkan anaknya itu bersendirian di dalam bilik air.

Malah, ibu mangsa juga tidak menyedari baldi yang sering digunakan untuk merendam baju kotor itu mengandungi air ketika meninggalkan anaknya di dalam bilik air tersebut.

Katanya, ha­sil bedah siasat mendapati kanak-kanak tersebut me­ninggal akibat lemas dengan tiada sebarang kecederaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.