Hussein dilantik Ketua Polis Selangor baharu

Kuala Lumpur: Datuk Hussien Omar Khan dilantik sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Hussein mengambil alih tugas itu daripada Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi yang memangku jawatan Ketua Polis Selangor sejak dua bulan lalu.

Majlis serah terima tugas diadakan di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, di sini dengan upacara disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

KASUT POLIS MURAH DAN BERKUALITI ! (CLICK GAMBAR)

Pada majlis sama, berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Selangor antara Sasikala Devi dengan Datuk Liliyana Haryanti Mohd Harunizam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada sidang media berkata, beliau memberikan sepenuh kepercayaan atas kebolehan dan pengalaman dimiliki Hussein dalam mentadbir Kontinjen Selangor.

“Datuk Hussein Omar sudah berkhidmat dalam PDRM selama 27 tahun khusus dalam siasatan jenayah dan pernah berkhidmat di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Bagaimanapun, beliau memerlukan sokongan penuh daripada semua keanggotaan Polis Kontinjen Selangor terutama semua Ketua Polis Daerah,” katanya.

Sementara itu, Hussein dalam ucapannya menzahirkan rasa terima kasih dan terharu atas kenaikan pangkat dan lantikannya sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu.

“Ia adalah tanggungjawab besar untuk mengetuai 14,000 anggota kontinjen negeri Selangor dan saya akan melakukan yang terbaik untuk menunaikan tugas saya.

“Saya berharap semua pegawai dan anggota di Selangor bekerjasama dengan saya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Hussein berkata, beliau percaya pelbagai pengalaman dalam pasukan polis serta sokongan daripada semua pegawai termasuk Timbalan Ketua Polis Selangor akan banyak membantu dalam menerajui polis Selangor.

“Bersama-sama kita akan pastikan polis Selangor akan sentiasa memastikan keselamatan dan keselamatan rakyat,” katanya.

– Berita Harian –

(Visited 149 times, 1 visits today)