Himpunan LGBT sengaja sabotaj kerajaan

KUANTAN – Perarakan kumpulan LGBT sempena perhimpunan Hari Wanita Sedunia semalam disifatkan sebagai usaha sabotaj dan mencabar kerajaan PH, kata Naib Ketua Cabang Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad.

Wan Fauzuldin berkata, tindakan mereka yang berani berkumpul seolah-olah mencabar kerajaan dan memperlihatkan apakah kerajaan reda dengan tindakan mereka.

Menurutnya, kumpulan ini perlu diambil tindakan tegas dengan melaksanakan siasatan segera tanpa kompromi.

“Dalam satu himpunan dan Perarakan Hari Wanita Sedunia yang telah diadakan di Kuala Lumpur semalam, satu kumpulan yang ‘bertabi’e ganjil’ dan jijik iaitu kumpulan pro LGBT turut sama mengambil bahagian.

“Satu dunia tahu bahawa Malaysia mengharamkan kegiatan dan promosi LGBT dan ia bertentangan dengan undang-undang, namun tindakan kumpulan ini ternyata dengan sengaja untuk mencabar dan menghina kerajaan.

“Amat mendukacitakan, pihak berkuasa yang diamanahkan oleh kerajaan untuk menentukan segala undang-undang dipatuhi termasuk dari segi peraturan di dalam himpunan aman ini, mereka telah gagal sama sekali untuk bertindak dengan tegas.

“Bayangkan sekiranya aktiviti seperti ini yang dilakukan secara terbuka dan terang-terang seolah-olah dibiarkan berterusan sehingga terpaksa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof, bersuara. Di mana pihak berkuasa yang bertanggungjawab?,” katanya.

Menurutnya, Kehadiran kumpulan yang dianggap tidak berakhlak dan tidak bermoral itu mencemarkan sambutan Hari Wanita yang telah diadakan.

Wan Fauzuldin berkata, kumpulan ini wajar disekat kerana telah mencemarkan imej kerajaan apatah lagi kerajaan PH baharu berusia tidak
sampai setahun yang sedang bertungkus lumus untuk membina imej yang terbaik berbanding kerajaan terdahulu.

“Apakah mereka mahu menunjukkan bahawa kerajaan PH ini reda dengan perbuatan mereka? Atau mereka mahu menguji ketegasan kerajaan di dalam isu LGBT ini?

“Saya berharap dan mendesak agar pihak berkuasa tidak memandang remeh isu ini. Saya tidak mahu pihak berkuasa seperti PDRM juga dituduh turut sama merestui perbuatan mereka sehingga mensabotaj kerajaan PH. Lakukan siasatan segera dan ambil tindakan dengan tegas tanpa kompromi,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Mujahid selaku Menteri yang bertanggungjawab di dalam hal ehwal agama Islam yang pantas bersuara dan meminta agar pihak PDRM melakukan tindakan yang sewajarnya.

– SINAR HARIAN –