Harga Petrol Ron95 dan Diesel belum turun

 KUALA LUMPUR 31 Dis. – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini mengumumkan harga runcit petrol RON95 akan dikekalkan pada harga RM2.20 seliter untuk tempoh beberapa hari.

Beliau berkata, penetapan itu turut melibatkan petrol RON97 pada harga RM2.50 seliter dan diesel RM2.18 seliter.

Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, pengekalan harga itu mengambil kira pandangan semua pihak.  Menurutnya, kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit petroleum secara mingguan.


“Sehubungan itu, pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri yang akan bermesyaurat pada 2 Januari 2019 dan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan diperolehi ke atas permintaan PDAM.

“Dan juga memastikan penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum. Perdana Menteri juga akan bertemu dengan PDAM dalam amasa terdekat.” kata Guan Eng.

Justeru menurut beliau harga berkenaan akan kekal dalam tempoh beberapa hari.

Menurut Guan Eng kerajaan tetap berhasrat melaksanakan penetapan harga runcit petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras penurunan harga petroleum dunia.

Penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baru 2019.



Sebelum ini, media melaporkan, Guan Eng berkata, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019.

Penetapan harga secara bulanan di bawah mekanisme harga automatik (APM) akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia menurun.

Katanya, dalam keadaan harga minyak dunia naik, kenaikan harga minyak runcit akan dikawal dan dihadkan kepada RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.

Pengekalan harga tersebut adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun 2019.


Bermula 7 Jun lalu, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter.

Pada 22 Disember lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan telah mengenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas petrol RON95 sejak awal Disember.

Menurutnya, berdasarkan harga Brent semasa iaitu sekitar AS$52 setong, harga petrol RON95 sepatutnya dikenakan antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak berbanding RM2.20.

“Belanjawan 2019 diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan andaian harga minyak dunia Brent pada harga AS$72 satu tong pada awal bulan lalu tetapi selepas itu, harga minyak dunia telah terus jatuh menjunam.

“Harga Brent ialah di sekitar AS$52 satu tong, sebagai perbandingan harga Brent semasa Barisan Nasional (BN) kalah ialah AS$73 satu tong dan harga RON95 ialah RM2.20 satu liter.

“Ini bermakna, sejak awal bulan lepas, kerajaan Pakatan Harapan telah kenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas RON95,” kata Najib.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.