Guna Aplikasi VSP Maklum Polis

ANGGOTA AMANITA Kontingen IPKKL, Zulaikha Aziera Zul Fakar menunjukan aplikasi `Volunteer Smartphone Patrol (VSP). – Foto Yazit Razali

SEREMBAN: Orang ramai digalak menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk memaklumkan kepada polis mengenai ketiadaan mereka di rumah sempena cuti Aidilfitri.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, perkembangan teknologi terkini membolehkan masyarakat menyalurkan maklumat dengan cepat termasuk penggunaan aplikasi VSP yang membolehkan masyarakat memaklumkan kepada polis mengenai keselamatan dan jenayah.

Menurutnya, penggunaan aplikasi itu lebih mudah dan cepat berbanding mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran untuk memaklumkan ketiadaan mereka di rumah.

“Kita (polis) meminta orang ramai yang hendak pulang ke kampung pada musim perayaan ini mendaftar aplikasi VSP dan menggunakannya untuk memaklumkan pada kami.

“Kita akan hantar anggota menjalankan rondaan secara berkala di kawasan perumahan mereka sekali gus memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran 1 Security Services Sdn Bhd di sini, malam tadi.

Noor Azam berkata, pihaknya akan melancarkan Op Selamat dalam masa terdekat demi meningkatkan keselamatan rumah dan jalan raya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat kawalan keselamatan juga boleh membantu polis dalam memastikan keselamatan di kawasan kawalan mereka terjamin.

Katanya, kakitangan syarikat kawalan keselamatan boleh melaksanakan tugas dengan membuat pemantauan dan tangkapan jika berlaku jenayah lalu memaklumkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.

– Berita Harian – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.