Go Pro rakam kelakuan pengguna jalan raya

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor memasang kamera Go-Pro pada semua kenderaan penguat kuasa bagi mengesan kesalahan pengguna jalan raya.

Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman berkata, sistem Go-Pro itu akan digunakan sepanjang operasi sempena perayaan Tahun Baru Cina bermula 29 Januari hingga 12 Februari ini.

“Kami akan gunakan Go-Pro untuk merakam video atau gambar setiap kesalahan pemandu jalan raya, selepas itu kami akan salin ke dalam sistem dan memanggil pemilik kenderaan untuk soal siasat dan mengambil tindakan.


“Selain penggunaan Go-Pro, anggota JPJ akan menyamar sebagai penumpang bagi merakam kesalahan yang dilakukan pemandu bas ekspres.

“Kami akan memanggil pemilik serta pemandu ke pejabat untuk soal siasat sebelum mengambil tindakan,” katanya pada sidang media Op Tahun Baru Cina 2019 di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, di sini, malam tadi.

Menurutnya, Op Tahun Baru Cina membabitkan semua 150 anggota dan pegawai JPJ Johor termasuk di daerah dan sempadan.

“Semua cuti anggota dan pegawai JPJ dibekukan sempena op ini dan bagi memastikan kelancaran trafik, tarikh larangan pemanduan kenderaan barangan ditetapkan pada 2 hingga 10 Februari.

“Tempoh larangan terbahagi kepada dua iaitu sebelum perayaan dari 2 hingga 4 Februari dan selepas perayaan bermula 9 hingga 10 Februari,” katanya.

Dalam operasi itu, Razali dan anggotanya memeriksa keadaan bas ekspres termasuk pintu kecemasan, tayar dan brek.

– HARIAN METRO – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.