Warning: Undefined variable $post_id in /home/isuviral/public_html/wp-content/plugins/facebook-thumb-fixer/output-logic.php on line 4

Gagal lari daripada polis

TAIPING: Seorang lelaki warga Indonesia diberkas selepas memecut laju kereta dipandunya ketika mahu diperiksa polis di Jalan Kampung Dew, Kamunting di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, suspek berusia 39 tahun itu berjaya ditahan selepas merempuh beberapa kenderaan lain sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata anggota unit peronda (MPV) Zon Kamunting yang sedang meronda terserempak sebuah Proton Waja putih dipandu lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Dew.

“Anggota polis kemudian memberi isyarat dengan memasang lampu dan membunyikan siren supaya pemandu itu memberhentikan kenderaan tetapi pemandu enggan berbuat demikian.



“Ketika dikejar polis, kenderaan suspek melanggar beberapa kenderaan dan apabila sampai di Jalan Kamunting, kereta suspek hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan hadapan Restoran Shahlan Maju Kamunting,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota polis kemudian menangkap suspek dan pemeriksaan fizikal tiada menemui apa-apa barang salah namun pasport milik suspek tetapi sudah tamat tempoh.

“Hasil siasatan didapati suspek tidak memberi kerjasama kepada polis untuk memberhentikan kenderaan seperti arahan dan bertindak melarikan diri sehingga menyebabkan kemalangan.

“Suspek cuba melarikan diri dari tahanan polis kerana pasport sudah tamat tempoh dan tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

– BERITA HARIAN –


(Visited 102 times, 1 visits today)