Fuziah mengaku tidak bersalah buat berita palsu

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan menerusi Facebook yang mengakibatkan kegentaran awam pada 9 April lalu.

Fuziah, 61, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini.

Tertuduh didakwa membuat kenyataan menerusi akaun Facebook ‘Fuziah Salleh’ di pautan https://www.facebook.com/YBFuziahSalleh, yang boleh menyebabkan kegentaran kepada awam di Taman Imigresen, Jalan Tasek Utara, kira-kira jam 10 malam, 9 April lalu.



Fuziah didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Hassan Karim dan John Fernandez.

Majistret kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan kedua kes ditetapkan pada 16 Jun depan.

Lagi berita mengenai COVID-19

– BERITA HARIAN –