IPOH – DAP Perak menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan menyeluruh terhadap laporan seorang wanita warga Indonesia membabitkan serangan seksual seorang pemimpin parti itu.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya memandang serius tuduhan tersebut dan meminta pihak polis menjalankan siasatan sewajarnya.
“Ini tuduhan yang sangat serius, sepertimana laporan polis yang dibuat semalam, parti berpendapat bahawa tiada siapa pun yang boleh melangkaui undang-undang.
“Oleh itu, kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sepenuhnya terhadap kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, sebarang tindakan yang akan diambil ke atas individu tersebut bergantung kepada hasil siasatan polis.
Mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah difahamkan membuat laporan polis terhadap majikannya yang juga seorang Exco kerajaan negeri, semalam.
Mangsa dipercayai baru dua bulan bekerja dengan majikannya itu tampil membuat laporan di Balai Polis Jelapang selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru Raya di sini.
– SINAR HARIAN –