Enam termasuk bayi 5 bulan maut dalam kemalangan kereta

MACHANG: Enam maut, termasuk bayi berusia lima bulan dalam kemalangan membabitkan dua kereta yang bertembung di Kampung Bunut Payung, di sini, jam 5 petang tadi.

Kemalangan berkenaan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai cuba memotong kenderaan di hadapan sebelum bertembung dengan Perodua Myvi dari arah bertentangan.

Lima mangsa maut di tempat kejadian dan seorang di Hospital Kuala Krai.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Ashtaff Ali Kutti, berkata mangsa yang maut dalam Perodua Myvi adalah Irwan Mohd Zali, 33; isterinya, Siti Khadijah Ibrahim, 33 dan dua anak mereka, Muhammad Zahran Arfan empat tahun dan bayi berusia lima bulan, Muhammad Zahrin Ariq.

Mangsa yang maut dalam kereta Proton Saga, Nurul Atikah Abdul Aziz, 19 dan Mohd Zakuan Aiman, enam tahun.

“Semua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat,” katanya .

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERITA HARIAN –

Leave a Reply

Your email address will not be published.