Empat daerah di Sabah kena PKPDB – Ismail Sabri



KUALA LUMPUR – Empat daerah di Sabah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran berkuat kuasa tengah malam ini hingga 12 Oktober ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daerah itu melibatkan Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna melibatkan seramai 962,661 penduduk.

Kata beliau, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan Covid-19 di empat daerah itu dalam tempoh 1 September sehingga semalam.

Dari jumlah itu, katanya, Lahad Datu merekodkan 241 kes, diikuti Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).



“Mengambil kira jumlah kes, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan PKPDB secara pentadbiran di kawasan berkenaan.

“PKPDB secara pentadbiran ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam ini, 29 September sehingga 12 Oktober ini dan akan melibatkan seramai 962,661 penduduk.

“Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan perintah itu, semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPDB sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Katanya, bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terlibat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan (essentials) di empat daerah terlibat.

“Pengkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPDB dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPDB ditutup,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi memastikan pematuhan perintah itu, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

Ismail turut menjelaskan, bagi pelaksanaan perintah itu, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette