Dua rakan didenda buat laporan palsu disamun lelaki bersenjata

PARIT: Dua rakan masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki bersenjata di Seri Iskandar, dekat sini bulan lalu.
Alif Omar Sidek dan Muhamad Farishafiq Mohd Johari, kedua-duanya 20 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin.
Mereka mengaku salah membuat laporan palsu secara berasingan mendakwa disamun dua lelaki bersenjata di hadapan McDonald’s Seri Iskandar pada jam 1 pagi, 23 Januari lalu.
Laporan palsu itu dibuat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, jam 9.30 malam keesokannya bertujuan menganti kad pengenalan yang hilang.
Alif Omar dan Muhamad Farishafiq didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), R Prabakaran.
Prabakaran memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum kerana Alif Omar hanya bekerja sebagai mekanik bengkel dan Muhammad Farishafiq sebagai pembantu chef dengan pendapatan RM1,100.
Mohd Fitri kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas setiap tertuduh atau penjara dua bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
– BERITA HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.