Desakan tukar MyKad, ini jawapan Menteri Dalam Negeri

Jabatan Pendataran Negara (JPN) mengambil maklum desakan oleh beberapa pertubuhan dan individu tertentu yang menggesa kerajaan menukar MyKad sedia ada kepada MyKad baru bagi menangani pemalsuan MyKad.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam hal ini, JPN dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji penambahbaikan dan pembaharuan terhadap MyKad khususnya dari segi aspek ciri-ciri keselamatan.



Menurutnya, JPN juga telah menambahbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dengan mengetatkan proses semakan dan kelulusan dokumen pengenalan diri di samping memantapkan lagi pemantauan dalam system JPN.

“Kerajaan memandang serius kes-kes yang melibatkan pemalsuan MyKad sama ada ia melibatkan kakitangan JPN atau sindiket tertentu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPN akan terus bekerjasama melalui “Ops Biru”. Sebuah Pasukan Perugas Khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes-kes pemalsuan MyKad bagi memburu dalang-dalang terlibat,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, kerajaan tidak akan sama sekali melindungi dan berkompromi terhadap sebarang salah laku berkenaan perkara ini.

Hamzah Zainudin berkata, berkenaan satu laman sesawang yang mengiklan dan menjual MyKad palsu dalam talian, satu laporan polis telah dibuat JPN pada semalam (1 Mei).

“Siasatan dan tindakan lanjut bakal diambil PDRM terhadap jenayah pemalsuan MyKad yang mencemar nama baik JPN,”katanya.



Selain kes tersebut katanya, kementerian ingin menjelaskan bahawa gambar-gambar MyKad yang tular di media sosial ketika ini ialah gambar lama yang dimuat naik semula.

“Gambar-gambar tersebut mempunyai kaitan dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang pada tahun 20I9. Walaubagaimanapun tiada gambar dan maklumat pemalsuan MyKad yang baru dapat dikenal pasti.

“Untuk makluman, PDRM telah membuat tangkapan terhadap individu-individu yang terlibat dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang pada 20I9 dan semua tertuduh sedang menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah,”katanya.

Beliau dalam pada itu turut memohon orang ramai segera menghentikan penyebaran mesej-mesej yang bersifat berita-berita palsu di media sosial bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan rakyat.



“Tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia I988.

“Bagaimanapun sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat terkini mengenai sindiket atau kegiatan pemalsuan MyKad, orang ramai boleh terus melaporkan maklumat tersebut kepada KDN, PDRM atau JPN secara langsung,”katanya.

Sumber – rentas7.com