DBKL, polis benar himpunan ICERD Sabtu ini

DBKL, polis benar himpunan ICERD Sabtu ini

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan himpunan bantah ratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kebenaran tersebut dibuat hasil mesyuarat bersama agensi kerajaan dan PDRM, hari ini.

Menurutnya, kebenaran itu diberikan atas keyakinan perhimpunan bakal diadakan secara aman.
“Kerana perhimpunan ini adalah perhimpunan kesyukuran jadi kami berpandangan lokasi diberikan itu akan memberikan lebih ruang kepada penganjuran itu.



“Perhimpunan dibenarkan bermula jam 2 hingga 6 petang di Jalan Raja sahaja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka,” katanya pada sedang media pemakluman kebenaran perhimpunan bantah ICERD di bangunan DBKL 1, di sini.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Mengulas lanjut, pihaknya telah menerima permohonan penganjur untuk mengadakan perhimpunan tersebut  27 November lalu.

“Permohonan dibuat oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dan Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (Daulat).

“Saya harap penganjuran ini dapat dilakukan secara baik dan yakin pihak PDRM akan memantau perhimpunan mengikut SOP dan garis panduan ditetapkan,” katanya.

Katanya, sebagai langkah persiapan, DBKL akan menutup padang Dataran Merdeka dan Jalan Raja sepanjang tempoh penganjuran berlangsung.

Terdahulu, penganjur menegaskan himpunan bantah ICERD akan tetap diteruskan walaupun kerajaan menolak ratifikasi konvensyen itu.

Ia sebagai tanda kesyukuran penolakan itu selain bantahan berterusan sebarang ancaman terhadap Islam, institusi raja-raja,bangsa Melayu serta bumiputera Sabah/Sarawak dan Bahasa Melayu sebagaimana dijamin Perlembagaan (Perkara 153).

– SINAR HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.