Datuk Seri Nicky, isteri dikenakan notis merah Interpol

AHLI perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, kini disenaraikan sebagai individu dikehendaki dan dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Turut disenaraikan dan dikenakan notis merah adalah isterinya, yang juga warga China, Niu Zhe.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata notis berkenaan diperoleh semalam dan kelmarin.

“Untuk makluman, kita sudah dapat notis merah bagi Nicky Liow yang diluluskan pada 20 April lalu manakala isterinya yang merupakan warganegara China, notis berkenaan diperoleh semalam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.


Beliau turut mengesahkan tangkapan seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

“Saya hanya dapat mengesahkan tangkapan itu dibuat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Johor, namun saya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana operasi masih berjalan.

TEKAN GAMBAR UNTUK WHATSAPP !

“Saya tidak mahu keluarkan statement (kenyataan) satu-satu. Hari ini tangkap satu keluar satu statement, lagipun sebarang kenyataan itu (Polis) Johor akan keluarkan kerana ada lagi tangkapan susulan.

“Kalau kita keluarkan satu-satu ini akan menjejaskan operasi yang sedang berjalan. InsyaAllah nanti dah siap tangkapan saya akan buat satu sidang media untuk keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, apa yang pasti ketika ini operasi ini masih berterusan dan akan ada lagi tangkapan susulan. – Malaysiapost


(Visited 3,133 times, 1 visits today)